Sebab apa umat Islam masih belum dapat bersatu padu? Kita ada dengar dan lihat umat Islam sendiri berbalah diantara satu sama lain.Tiadanya kesatuan dan kesamaan di dalam pemikiran (wahdatul fikr) adalah merupakan salah satu faktornya. Mengapa terjadinya hal sebegini ? Perkara ini berlaku adalah kerana kurangnya pemahaman seseorang itu mengenai Islam. Jadi, saya bukanlah yang terbaik dan yang terlayak untuk membincangkan hal ini, cumenya atas kesedaran yang ada ini maka perlulah kita sama-sama membincangkannya. Mengenai hal ini, elemen penting yang perlu diketahui oleh kita semua ialah mengenai Islam itu sendiri. Kita perlu memahami Islam secara menyeluruh kerana Islam itu agama yang syamil. Kita mesti set dalam minda kita bahawa, Islam itu merangkumi semua aspek. Apa yang berlaku pada hari ini, terdapatnya golongan-golongan yang hanya fokus kepada sesuatu perkara. Contohnya, ada yang menganggap Islam itu hanya dari sudut beribadah dan yang selainnya dianggap tidak termasuk di dalam Islam. Hal ini yang patut kita bimbangkan kerana ia telah menyebabkan terbantutnya proses untuk membina kesatuan ummah seterusnya melambatkan kemenangan Islam itu sendiri. Kita lihat sejarah yang telah berlaku di barat suatu masa dahulu yang mana wujudnya pemisahan diantara golongan gereja dan pemerintah dan ideologi ini masih lagi wujud pada abad ini. Inilah satu pemahaman yang tidak sepatutnya ada di dalam diri setiap umat Islam yang menganggap Islam itu hanya dipandang dari aspek ibadahnya sahaja seperti solat, puasa, zakat dan yang seumpama dengannya. Sedangkan setiap perkara di dunia ini sepatutnya kita hendaklah mengaitkannya dengan Islam.
Satu lagi pemahaman yang patut dijauhkan dalam kepala pemikiran setiap muslim ialah pemikiran yang hanya mementingkan diri sendiri. Ketahuilah bahawa kita ada tanggungjawab yang wajib kita tunaikan. Dan tanggungjawab itu bukanlah hanya fokus kepada satu perkara sahaja sehingga kita mengabaikan tanggungjawab yang lain. Iya, memang benar kita juga dituntut untuk mengambil seberapa banyak perkare yang boleh memberi manfaat dan keuntungan bagi diri kita. Namun harus diingat, kita juga dituntut untuk mengambil berat di dalam mengetahui urusan atau perkara umum bukan hanya kepentingan peribadi. Kesatuan pemikiran sebeginilah yang patut kita tanamkan di dalam minda kita. Kita tak mahu, bilamana kita lihat Islam dan umatnya ditindas, dizalimi atau sebagainya, kita hanya berdiam sahaja tanpa memikirkan tindakan yang sepatutnya dilakukan bahkan lebih teruk lagi mengatakan mengapa perlu fikir-fikir hal sebegini, fikir diri sendiri sajalah. Nauzubillah min zalik. Oleh itu sama-samalah kita ambil Islam itu secara syumul iaitu bukan Islam yang diceduk-ceduk atau Islam yang sekerat-sekerat serta sama-samalah kita membina kesatuan pemikiran dan fahaman tentang Islam itu. Mudah-mudahan dengan usaha dan tindakan kita, tidak lagi berlakunya perpecahan dan perbalahan diantara umat Islam sendiri seterusnya mengembalikan zaman kegemilangan Islam. Ameen.....
|